Bandar Baru Bangi berasal daripada sebuah ladang kelapa sawit (West Country Estate) yang berkeluasan 5,118 ekar dan mula dibangunkan pada tahun 1974 setelah proses pengambilan tanah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai tahun 1972-1978. Proses pengambilannya dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula dengan seksyen 1 yang melibatkan pembinaan rumah kos rendah, sederhana dan tinggi yang berjumlah 200 unit. Kerja-kerja membangunkan kawasan ini berakhir pada 2007, dengan pembinaan 11,040 unit kediaman, 308 unit kedai, 43 unit kilang dan sebuah kompleks pejabat.
Perancangan bandar satelit ini yang juga merupakan bandar kedua terbesar selepas Shah Alam, adalah berdasarkan perancangan bersepadu yang dijangka mampu meneruskan pembangunan yang bukan sahaja dapat menampung kediaman 60,000 orang penduduk, tetapi juga menyediakan aktiviti komersil, perindustrian, institusi latihan, rekreasi dan pendidikan. Ini adalah sesuai dengan saranan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada masa itu, untuk mengubah perspektif masyarakat, dan ekonomi Malaysia daripada Pertanian kepada Industri. Dengan itu, Ladang-ladang kelapa sawit dalam daerah Hulu Langat ini dipilih sebagai kawasan penempatan baru.
Berkonsepkan Bandar Taman, kawasan lapang seluas 82 ekar dilengkapi dengan sistem dua lengkongan jalan besar dan lorong-lorong jalan kaki dan berbasikal yang menyambungkan aktiviti-aktiviti di antara satu sektor dengan yang lain. Bandar Baru Bangi telah dibahagikan kepada 16 Seksyen.
Sebuah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia telah dirancang pembinaannya untuk membentuk suatu institusi yang mendokong cita-cita dan aspirasi masyarakat Melayu, dan mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Universiti ini mempunyai misi untuk menghasilkan graduan-graduan bertaraf dunia daripada pendidikan berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar selain menjadi pemangkin kepada pembangunan setempat - Bandar Baru Bangi.
Lokasi
Bandar Baru Bangi terletak di dalam daerah Hulu Langat dan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
Bandar Baru Bangi terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Kajang dan 6 kilometer dari Bangi Lama. Sebenarnya istilah Bangi Lama tidak wujud secara rasmi, ia cuma untuk membezakan kedua-duanya.
Asal nama
Versi 1 : 'Wangi' disebut 'Bangi' jika ibu bapa merujuk bau anak kecil mereka yang baru mandi.
Versi 2 : Nama Bangi berkaitan dengan bau iaitu 'Wangi' dalam telor Jawa. Bukit UKM pada peringkat awal penerokaannya ialah sebuah hutan tebal yang diduduki orang halus. Pada waktu senja, bau wangi akan mencucuk hidung dan semua wanita dan kanak-kanak akan masuk ke rumah kerana orang halus hadir berhampiran mereka. Ada yang percaya makhluk-makhluk ini telahpun dipindahkan ke kawasan lain oleh seorang pengamal perubatan islam di situ.
Versi 3: Asal perkataan Bangi ialah 'bangor' yang bermaksud bau busuk melantung dari ikan-ikan keli kering yang dijemur di tepian sawah padi. Sebelum Sungai Semenyih diluruskan sekitar tahun 1965, kawasan Bangi Lama pernah ditanam sikit-sikit dengan padi sawah.
Bangi Bandar Ilmu
Pada 22 Jun 2008, Bangi Bandar Ilmu telah dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang sedang memulakan Program Jejak Ilmuwan di negeri Selangor pada masa itu.
Kawasan perindustrian
Sebagai sebuah bandar terancang yang dibina pada tahun 1970-an, bandar ini dilengkapi dengan zon perumahan, zon perniagaan, zon rekreasi dan zon perindustrian. Zon perindustrian ini dinamakan Kawasan Perindustrian Bandar Baru Bangi. Banyak kilang didirikan di sini kerana premium tanah yang rendah dan dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih. Antara kilang yang ada di sini ialah :
- Sony
- Hitachi
- Upha
- Sapura
- Datapos
- Onkyo
- Denso
- Permanis(Pepsi)
- Sadoshima
- Ryoka
- Okumura
- Taisho (Livita)
- Utusan
- Ubatan
- Percetakan
Sebuah kawasan perindustrian baru juga dibina iaitu Kawasan Perindustrian Selaman.
Rekreasi
Tasik
Taman Tasik Cempaka baru sahaja dibangunkan atas permintaan penduduk Bandar Baru Bangi dan sekitarnya. Sebuah sungai kecil telah disekat aliran airnya menjadi sebuah tasik dikorek, didalamkan dan ditanam dengan pokok-pokok hiasan.
Institusi pendidikan
Selain UKM, ada pelbagai lagi institusi pendidikan di sini, antaranya ialah :
- Kolej Polytech Mara Bangi [kptm]
- Institut Perguruan Islam
- Institut Latihan Maybank
- Institut Latihan Bank Bumiputera- Commerce
- Universiti Tenaga Nasional
- Kuala Lumpur Infrastructure University College (KLIUC)/IKRAM
- Lembaga Perlesenan Sawit Malaysia (MPOB)
- Akademi Percukaian Malaysia - LHDNM
- MEA Technology Centre
- Giatmara School Of Printing
Sekolah Persendirian di Bangi
Sekolah di Bangi
- Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bangi
- Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Min
- Sekolah Kebangsaan Jalan Empat
- Sekolah Kebangsaan Seksyen 7
- Sekolah Kebangsaan Jalan Enam
- Sekolah Kebangsaan Bangi
- Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi
- Sekolah Kebangsaan Jalan 3
- Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi
- Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko
- Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga
- Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat